PENGALAMAN EKSPEDISI JEJAK WARISAN JAWI 4 [JELAJAH
MALAYSIA SIRI 1]
Jelajah Malaysia
siri 1 telah berlansung pada 10 hingga 12 Disember 2016 dengan jayanya.
Sepanjang ekspedisi ini, kami dapat mengenali kumpulan Jejak Warisan Melayu.
Ekspedisi in telah memberi pengalaman baru. Seramai empat orang ahli PERKIM
dari tiga buah instutusi pengajian tinggi iaitu Universiti Islam Antarabangsa
(UIA) Gombak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga Politeknik Shah
Alam telah turut serta dalam ekspedisi ini. Kami mula berkumpul bersama peserta
ekspedisi ini di stesen minyak sebelum tol Gombak sebelum penjalanan secara
konvoi bergerak iaitu pada hari sabtu. Disini dapat dilihat, peserta konvoi
mengenakan pakaian busana Melayu tradisional.
Kampung Budu Benta
Pahang merupakan destinasi pertama yang dituju iaitu walimah salah satu sahabat
Jejak Warisan Jawi. Semasa di walimah tersebut, para hadirin disajikan dengan
perarakan pengatin diiringi oleh hulubalang, tiupan tetuang dan juga paluan
kompang sambil berselawat. Persembahan silat Melayu dipersembahkan dihadapan
dua pasangan pengantin baru. Antara adat perkahwinan yang turut berlangsung
adalah acara merinjis. Seterusnya para peserta didendangkan dengan lagu “Sopan
Santun” dan “Pengantin Baru” diriringi paluan kompang. Kami dapat melihat
secara langsung adat Melayu dalam menyambut pengantin baru dan turut serta
dalam bermain kompang sambil menyanyikan lagu tersebut.
Seterusnya,
ekspedisi ini menuju ke Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi, Tapah Perak. Hujan
membasahi bumi sepanjang perjalanan kami ke Tapah. Setibanya disana, kami
disambut oleh pelajar-pelajar tahfiz dan juga para murabbi mereka. Selesainya
bersalaman, kami memberi kepada ikan yang dibela oleh pihak madrasah di kolam
berhampirannya. Untuk pengetahuan umum, institusi pengajian ini khusus untuk
menghafal al-Quran dimana ia menyediakan peluang pendidikan percuma kepada
golongan yang kurang bernasib baik dan kurang kemampuan. Apa yang menarik juga
disini, para pelajar turut didedahkan dengan ilmu kemahiran hidup secara
praktikal mengenai pertanian organik dan pertenakan seperti ternak ikan yang
bersistematik berlandaskan Islam. Para pelajar universiti juga diberi peluang
untuk mengisi satu slot motivasi mengeai tips dan pesanan kepada pelajar
madrasah. Kami disini dapat mengasah kemahiran dalam menyampaikan dan
berkomunikasi dengan masyarakat. Sebelum kami berangkat ke perjalanan yang
seterusnya, penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Pengarah Jejak Warisan 4
bersama Ustaz di Madrasah.
Kami terpaksa berhadapan
dengan kesesakan jalan raya menuju ke Pulau Pinang pada malam tersebut. Kami tiba
di Rumah Orang Tua Darul Hannan, Seberang Perai pada jam 3.30 pagi keesokan
harinya. Pada pagi tersebut, kami subuh berjemaah bersama warga emas darul
Hannan dan juga mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Zaid berkisarkan
perjalanan kehidupan. Disini juga kami menyantuni warga emas melalui aktiviti
yang sempat dijalankan seperti senaman dan juga beramah mesra semasa
bersarapan. Warga emas yang tinggal disini berusia 60 ke atas. Ada diantaranya
yang dulunya berkerja di kampung seperti pesawah dan juga di bandar. Warga emas
turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan Melayu seperti kompang, tari
sembah dan juga dendengan lagu klasik. Disini juga pengalaman baru kami
perolehi iaitu warga emas ini hendaklah diziarah dan juga perkongsian cerita
mereka.
Setelah selesainya
sarapan, kami meneruskan ekspedisi ke Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala
Ketil, Kedah. Program yang berlangsung di KUIN ialah bedah buku “Kias Tersirat”
oleh saudara Herman yang juga merupakan salah seorang dari peserta ekspedisi
ini. Perbentangan ini mengisarkan tentang latar belakang masyarakat Melayu
seperti kebudayaan, sosial dan ekonomi tradisional. Antara isi perbincangannya
adalah kepentingan falsafah kehidupan melalui pakaian (sampin dan tengkolok)
dan keris yang perlu masyarakat kini pelajari dan hayati. Antara kehebatan
masyarakat Melayu dahulu adalah mereka belajar melalui alam. Oleh itu,
pentingnya penerokaan sejarah Melayu ini dilakukan dan dihayati dengan baik
oleh masyarakat. Selesai sesi di KUIN, kami berangkat ke Alor Setar melawat
Balai Nobat, Masjid Zahir dan juga istana lama (muzium). Kami dapat mempelajari
sejarah balai Nobat, susur galur Sultan Kedah, melihat koleksi-koleksi seperti
sangkar besi, tengkolok dan juga peralatan senjata dan juga kisah tempat
berhimpunnya ulama’ silam di Masjid Zahir.
Destinasi yang
terakhir bagi ekspedisi ini adalah di Kuala Kangsar, Perak. Di Kuala Kangsar,
Sambutan Hari Melayu Dunia kali ke-2 bersempena hari Maulidur Rasul berlansung
iaitu pada 12 Disember 2016 Masihi
bersamaan 12 Rabiul Awal 1438 Hijrah pada hari isnin. Antara aktiviti yang
menarik disini adalah simbolik perarakan (menaiki 4 wheel, sampan dan
berjalan), persembahan (silat dan pentomin) dan permainan tradional seperti
gasing, Tarik upih pinang, sepak raga dan juga jalan mengguna tempurung.
Sempena hari Melayu dunia juga, pameran-pameran seperti pameran senjata, busana
dan buku diadakan dan juga perbentangan mengenai Melayu dibentangkan. Para
pengujung disini juga berpeluang untuk mencuba meniup tetuang, memanah dan juga
bermain gasing. Peserta ekspedisi mula bergerak pulang.
Alhamdulillah,
banyak pengalaman baru dan ilmu yang bermanfaat kami perolehi sepanjang
perjalanan ekspedisi ini. Kami dapat merapatkan hubungan persaudaraan,
berkongsi ilmu, mempraktikkan ilmu dan akhirnya dapat belajar kebudayaan
Melayu. Kami juga dapat beramah mesra dan menyantuni masyarakat sepanjang
destinasi yang dituju.
 |
KIAS TERSIRAT dibentang oleh Saudara Herman |
 |
sesi perkongsian bersama adik-adik |
 |
Mahasiswa UKM & UIA bersama Ustaz Zaid |
 |
bergambar depan KUIN |
 |
Bagunan yang masih dibina Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi, Tapah Perak |
 |
sesi perkongsian bersama adik-adik |
 |
sesi perkongsian bersama adik-adik |
 |
Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi, Tapah Perak |
 |
Kolam ikan di Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi, Tapah Perak |
 |
bersilat |
 |
istana lama (muzium) |
 |
Orang Asli |
 |
KUIN |
 |
balai nobat, Kedah |
 |
berperahu |
 |
bergambar bersama peserta JWJ |
 |
berbaju Melayu |
 |
Masjid Zahir |
[Muhammad Ariff Bin Badrudin]
Ahli PERKIM UKM
Mahasiswa Sarjana
Muda Sejarah Tahun 2